top of page

OUM Orak Selangkah Ke Hapadan

Updated: Nov 20, 2023

Dalam Akhbar : OUM ORAK SELANGKAH KE HADAPAN

Diterbitkan: Julai 7,2013

Sumber : Kosmo Ahad

Sebagai pembekal pertama ODL di negara ini, Open University Malaysia (OUM) telah memainkan peranan penting dalam menyediakan akses lebih besar kepada orang ramai dari semua lapisan masyarakat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi.

Sejajar dengan motonya, “ Universiti untuk Semua”, OUM kini telah mengorak selangkah ke hadapan dengan memperkenalkan modul pengajian dalam Bahasa Melayu.

Naib Presiden Kanan OUM, Profesor Mansor Fadzil berkata, modul pengajian dalam Bahasa Melayu ini diperkenalkan supaya bahasa kebangsaan tidak diketepikan, malah pelajar yang tidak memahami Bahasa Inggeris boleh menggunakan Bahasa Melayu.

Kata beliau, OUM mengambil langkah itu kerana menyedari permintaan pasaran luar terhadap modul dalam Bahasa Melayu.

“OUM tidak mahu pelajar hanya mampu menguasai Bahasa Inggeris semata-mata. Contohnya, seperti universiti luar negara yang masih mengekalkan penggunaan bahasa ibunda, di samping bahasa Inggeris.

“OUM menitik beratkan fleksibiliti pelajarnya. Oleh itu, mereka diberi pilihan ketika menduduki peperiksaan. Mereka boleh memilih sama ada hendak menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu mengikut keselesaan serta pemahaman masing-masing,” katanya.

Menurutnya pemprosesan modul dalam Bahasa Melayu ini mengambil masa kira-kira satu atau dua tahun untuk semua program ditawarkan di OUM.

“OUM menitik beratkan fleksibiliti pelajarnya. Oleh itu, mereka diberi pilihan ketika menduduki peperiksaan. Mereka boleh memilih sama ada hendak menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu mengikut keselesaan serta pemahaman masing-masing,”Profesor Mansor Fadzil, Naib Presiden Kanan OUM

Modul Kursus melalui telefon pintar, tablet

Menyedari aliran perubahan dalam pembelajaran pada era ini, Open University Malaysia (OUM) telah memperkenalkan aplikasi mudah alih dalam pengunaan teknologi terkini yang akan membantu menyelaraskan bahan pembelajaran pelajar di universiti.

Telefon mudah alih adalah sempadan baru dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini bagi menggariskan usaha OUM untuk memanfaatkan teknologi itu dalam memudahkan proses pembelajaran, di samping menawarkan gambaran mengenai aplikasi itu.

Penggunaan teknologi mudah alih dalam pengajian membuktikan OUM bukan sahaja menumpukan pembelajaran secara fizikal, malah turut memfokuskan pembelajaran secara dalam talian serta aplikasi selaras dengan misi dan visinya sebagai universiti terbuka.

Naib Presiden Kanan OUM, Profesor Mansor Fadzil berkata, pendekatan aplikasi itu menunjukkan kemajuan yang dicapai OUM dalam menggunakan teknologi bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Katanya, aplikasi itu akan memudahkan pelajar untuk mengakses bahan dan modul kursus daripada pelbagai bidang pengajian menerusi telefon pintar dan tablet.

Beliau berkata, penggunaan aplikasi itu juga bertujuan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam mengukuhkan sistem penyampaian universiti.

“Penggunaan aplikasi mudah alih sebagai alat dalam pengajaran dan pembelajaran menawarkan peluang yang unik bagi pembelajaran jarak jauh. Ia membolehkan pelajar memanfaatkan fleksibiliti dan kebebasan yang diberikan oleh peranti mudah alih.

“Pelajar berdaftar hanya perlu memuat turun bahan pembelajaran bagi kursus yang mereka ambil setiap semester secara literal,” katanya.

Professor Mansor berkata, aplikasi itu bukan hanya boleh dimuat turun oleh pelajar, tetapi oleh orang ramai menerusi Apple App Store secara percuma untuk pertama kali, manakala caj akan dikenakan pada muat turun berikutnya.

Comments


bottom of page